|
Sinopsis sebagai memori Setiap buku yang telah aku baca, Akan aku tuliskan sinopsisnya. Supaya tidak akan aku lupa, Novel yang banyak berjasa. Senarai Novel Thank You WawaBelo basecodes: Jane |
Sunday, November 14, 2010 @ 1:20 AM
Cinta Untuk Elyana Oleh Misya Darlina HIDUP Elyana sering dihimpit penderitaan tatkala berhadapan dengan insan bernama lelaki. Bapa tiri zalim yang cuba menodainya serta suami yang suka mendera, sering menghantui mimpinya. Elyana berasa lega apabila Murad dipenjarakan atas kesalahan berat. Dia berjaya memohon cerai daripada mahkamah. Dan akhirnya, dia bebas daripada cengkaman lelaki yang tidak pernah menghargainya sebagai isteri. Bekerja di sebuah hotel dapat mengisi kekosongan diri serta dapat menampung hidup bersama anak gadisnya, Nur Amira. Namun, dalam meniti kebebasan itu, Tan Sri Khalid hadir untuk mengisi ruang hati perempuannya. Elyana takut pisang berbuah dua kali. Baginya, lelaki semuanya sama. Namun, tidak bagi Tan Sri Khalid. Dia yang kematian isteri benar-benar ikhlas mahu menjadikan Elyana suri di dalam hidupnya. Elyana keliru membuat keputusan. Apa kata Nur Amira yang tidak tahu mengenai lamaran itu? Dapatkah dia menerima Tan Sri Khalid sebagai bapa tirinya sedangkan hidup bersama Murad dahulu, hidupnya turut tidak aman? @ 1:19 AM
Lagu Rindu Oleh Ayu Emelda Aqmal amat mencintai Puteri Adalea tetapi dalam masa yang sama kasihnya sentiasa ditagih oleh Sofea. Gelagat Sofea membuatkan kasih Adalea kepada Aqmal sedikit malap. Aku takut sebenarnya. Takut seandainya kasihku terputus di tengah jalan. Khuatir, jika sayang Aqmal berpaling kepada insan lain setelah seluruh perasaanku menjadi miliknya. Bimbang, andai cinta beralih arah tatkala kuserahkan seluruh jasadku kepadanya. Perlukah Adalea memberi peluang kedua kepada Aqmal setelah dirinya dipersiakan? Bagaimana Aqmal menangani masalah cintanya terhadap Adalea sedangkan Sofea masih mengharapkannya hingga ke hujung nyawa? @ 1:19 AM
Gemersik Kalbu Oleh Anis Ayuni Raihana... pertama kali kutatap wajahmu, ada getar yang menusuk di kalbu. Saat itu, hanya suaramu yang bisa melunakkan mimpiku. Meskipun tawamu nampak bahagia, mengapa bening mata itu bersalut duka? Andainya kau pernah terluka, izinkan aku mengubatinya. Namun, jawapanmu sering menyongsang makna. Tinggal harapanku tergapai-gapai, kau biarkan begitu sahaja . Puas kukikis namamu. Lelah jasadku dek tipu helahmu. Berkali-kali kuulang; aku lelaki yang tak tahu malu. Sayangnya... bayangmu jua yang hadir mengocak tenangku. Belajarlah menerima hakikat, aku adalah kenyataan dan dia adalah kenangan! Sekali lagi kutunggu lafaz cintamu kerana aku bukan lelaki yang tewas! Sufian... cinta bukan paksaan. Cinta juga bukan simpati. Ikrar kasih kami dulu ibarat tugu di hati ini. Janji setia itu tak mungkin diingkari hanya kerana kamu. Mengertilah... semuanya bukan kemahuan fikiran. Impian dan ingatan terhadapnya sukar diusir pergi. Biarpun bayang duka merantai hidup ini, tapi aku tetap rela. Bukankah sudah berkali-kali kubilang; belajarlah jadi lelaki yang waras. Sekelumitpun tiada namamu di ruang hati ini. Tapi godaanmu mengekoriku walau di mana. Kau terus memburu, sedangkan dalam mimpi pun aku tak inginkan wajahmu. Biar didera ataupun dipaksa, namun hatiku tidak serapuh salju! Akhirnya, Raihana begini dan Sufian begitu. Di manakah titik pertemuan mereka? @ 1:18 AM
Kumohon Kasih Oleh Haiza Najwa Azrul Rozaimy atau Roy... berdepan jua dengan Ayuni setelah lima tahun peristiwa dia terlanjur menodai gadis itu. Dia tidak menyangka Ayuni mengalami tekanan jiwa akibat peristiwa itu. Lebih menyedihkan apabila mengetahui bahawa keterlanjurannya menyebabkan Putra lahir ke dunia. Dengan menyamar sebagai Mi dan mengubah penampilan diri, dia mengahwini Ayuni. Ayuni... sebenarnya dia waras. Kerana dendam terhadap Roy, dia mahu membalas setiap derita yang ditempuhi selama ini. Namun, dendam itu berbaur dengan rasa cinta yang sangat utuh di dalam hati. Hanya Roy yang ditunggu dan ingin ditemui. Salwarina... mencintai Roy sejak kecil lagi. Impian jadi nyata apabila keluarga menjodohkan mereka. Mereka berkahwin tanpa kerelaan Roy, sekadar untuk mengeratkan silaturahim keluarga. Semuanya tersingkap jua. Jiwanya bergelodak amarah. Tidak rela menjadi isteri kedua, tidak mahu ada orang ketiga. Sudahnya, mereka tersepit dalam perangkap cinta. Roy hanya cintakan Ayuni dan ingin kecapi cinta mereka yang ternoda dulu. Ayuni terus memburu Roy tanpa menyedari bahawa kekasih yang dicari ada di depan mata. Sawarina tetap mahu memiliki Roy walaupun sedar tidak mungkin dapat menakluki cinta lelaki itu. Jika cinta itu suci, mengapa mesti ada insan yang akan terluka? @ 1:17 AM
Ucapkan Kau Rindu Oleh Murni Aqila HATI Lailana berbunga rindu kala Adham meluahkan rasa cintanya. Itulah saatnya roboh benteng perasaan gadis itu yang selama ini menyimpan amarah terhadap insan bergelar lelaki. Seiring restu keluarga, mereka mula menganyam impian untuk hidup bersama. Entah mengapa, menghampiri hari bahagia yang dinanti, Lailana mula menjauhkan diri. Dia sengaja kembali menjalin kasih dengan Ifran. Walhal, dia sedar hati Adham pasti tercalar. Tidak sanggup berhadapan dengan kemarahan keluarga akibat tindakannya itu, Lailana nekad untuk menghilangkan diri. Adham terkedu dengan segala yang terjadi. Di saat dia cuba mencari jawapan, keluarga Lailana menyerahkan sepucuk warkah yang merungkai segala rahsia silam gadis itu. Coretan kebenaran itu mendorong dia menjejaki Lailana agar kembali kepadanya. Namun, ke manakah harus dia mencari cintanya yang telah hilang? @ 1:15 AM
Ternyata Cinta Oleh Damya Hanna PENGALAMAN mengajar erti kedewasaan. Begitulah ibarat hidup Qasdina, tonggak harapan keluarganya. Dalam meniti usia remaja, dia bagaimanapun tidak dapat menolak hakikat yang dia juga punya cita-cita untuk digapai. Namun, demi adik-adik yang masih bersekolah dan ayah yang dibebani hutang, impian itu terpaksa dilupakan buat sementara waktu. Dia sebaliknya kini punya misi yang tersendiri! Memburu lelaki kaya! ZARIEL - Lelaki pertama yang berjaya mencuri perhatian. Kacak, mewah dan romantis! Itu ciri-ciri kesempurnaan yang perlu ada pada lelaki idamannya. Tetapi Zariel tidak seperti yang disangkakan. Lelaki itu terlalu ego sehingga menjengkelkan hati nuraninya. IQRAM - Kehadiran lelaki ini kerap kali mengganggu emosi. Qasdina jadi rimas sendiri! Tiada langsung kriteria lelaki pujaannya, namun peribadi Iqram yang penuh rahsia dan kesederhanaan sifatnya berjaya meruntun hati si gadis. Ternyata, cinta itu terlalu indah. Namun, dia juga sedar hanya kejayaan menggapai cita-cita bakal melengkapkan kehidupannya. Jadi, mampukah dia mengorbankan impiannya demi cinta? Ikutkan hati, dia ingin memiliki kedua-duanya sekali! Dan dia tahu yang dia berhak kerana kebahagiaan itu adalah milik setiap insan. Cuma yang pasti, ketentuan ILAHI tetap membatasi segala. @ 1:14 AM
Menanti Kasih Oleh Norzailina Nordin Pertemuan kali pertama ketika melancong ke Itali, membuatkan Farhana jatuh hati pada Giovanni. Siapa lelaki itu sehingga Farhana buta dalam pencarian cinta, sedangkan mereka saling mengenali hanya untuk tempoh dua minggu? Betapa taksubnya cinta dua insan ini bilamana perasaan kasih, sayang dan rindu sering menerjah sanubari. Mereka mampu menepis segala tohmahan yang dianggap dusta belaka. Namun, dalam keseronokan bercinta, ada insan yang merana. Kamel... satu-satunya lelaki yang pernah singgah di hati Farhana. Mengapa ditolak luahan perasaannya sedangkan mereka berkawan sudah lama? Kasihan lelaki itu! Cintanya tidak kesampaian... Kemunculan Ahmad Ridzafi memberi tamparan hebat kepada Farhana. Lelaki itu melamarnya dengan penuh keikhlasan jiwa. Biar bagaimana hebat sekalipun onak merintangi, gadis itu harus menjadi miliknya. Fikiran Farhana menjadi tidak keruan. Mampukah dia menerima lama-ran itu kerana pada masa yang sama mengharapkan orang yang di-sayangi datang membersihkan luka di hati? Farhana benar-benar buntu. Dia ingin menyayangi dan disayangi. Sememangnya, dia hidup dalam alam realiti tetapi masih tidak berupaya menggapai kebahagiaan. Yang mana satu menjadi pilihan hati? Dia hanya berserah kepada Yang Maha Esa dan menanti kasih jejaka yang sudi bertakhta di hatinya. @ 1:13 AM
Hati Yang Terusik Oleh Nia Azalea Kisah yang begitu hebat ini mampu mengajak para pembaca menilai hati dan perasaan manusia dalam nilai kejujuran, kasih sayang, cinta dan pengorbanan. Vanessa yang memeluk Islam berkahwin dengan lelaki pilihan semasa mereka masih menuntut di UK walaupun pernikahan mereka ditentang oleh Vincent Lee, bapanya. Di sebalik pernikahan itu, terselit rasa benci Vincent terhadap Farhan apabila teringatkan anak sulungnya bernama Irene. Namun, Vanessa mendiamkan diri kerana itu adalah pilihannya. Dia masih tetap mencintai Farhan. Langit tidak selalu cerah, apabila Vanessa dan Farhan dipanggil balik ke Malaysia tanpa sempat menghabiskan pengajian mereka. Tempoh perkahwinan mereka berdua tidak berpanjangan kerana Vanessa dipersiakan haknya oleh Farhan. Akhirnya, Vincent Lee meminta Vanessa berkahwin dengan Raymond. Mengapakah Vincent amat membenci Farhan apabila terkenangkan Irene? Mudahkah Farhan melafazkan cerai apabila Vincent mahu Vanessa berkahwin dengan Raymond? Mampukah Vanessa menerima arahan bapanya itu? Apakah taktik yang digunakan oleh Vincent agar Vanessa patuh pada arahannya? @ 1:12 AM
Kasih Dania Oleh Ayu Emelda Karya yang sungguh romantik ini tentu membuai perasaan anda apabila watak-watak yang dicipta oleh Ayu Emelda berjaya menghidupkan suasana perjalanan cerita. Dania seorang gadis tomboy diminta untuk bernikah dengan Amir semata-mata untuk menyelamatkan keadaan. Amir tidak mahu terus didesak oleh keluarga untuk berumah tangga. Perkahwinan mereka atas dasar tolong-menolong itu telah membawa perasaan kasih sayang dalam diri Dania. Namun, tidak bagi Amir. Pada masa yang sama, wujudnya orang ketiga yang membuatkan Amir jatuh cinta. Semuanya terjawab dalam KASIH DANIA. @ 1:12 AM
Sebutlah Namaku Oleh Murni Aqila AMEELISA sedar betapa cinta hanya akan bermakna jika dua jiwa bersatu. Dan cinta lebih bermakna jika penyatuan itu disertai restu. Namun dia ragu-ragu, cinta siapa yang mampu menakluki hatinya. Hairul - Romantisnya...Cinta lelaki ini membuai-buai kasih Ameelisa. Hingga rindulah yang menghiasi jiwanya. Tetapi ada insan lain mengharap cinta Hairul. Tajul - Ngeri apabila memikirkan lelaki inilah yang pernah meragut Ameelisa. Takdir menemukan mereka kembali dalam situasi berbeza. Terlalu baik hingga lebur kenangan pahit semalam. Johari - Pintu cinta yang dulu tertutup, kini terbuka untuk Ameelisa. Duda berputera dua ini mahu mengulangi cinta yang pernah kecundang. Dia yakin Ameelisa tidak akan mengecewakannya. Pelik... wajah Tajul membayangi Ameelisa di setiap langkah. Bercinta dengan peragut? Dia bingung sendiri. Dan ketahuilah, apa yang kita tahu sebenarnya bukan itu yang terjadi. Sesungguhnya, cinta... sebuah perasaan yang tulus menyayangi sepenuh hati. Persis melodi indah, mendayukan hati. Tetapi, mengapa sukar memahami cinta? Sukar sangatkah? @ 1:10 AM
Seribu Kali Sayang Oleh Anis Ayuni SUDAH ditakdirkan sejak lahir, Nur Qazrina atau Abby ditinggal ayahnya. Bagi Abby, tanpa kehadiran lelaki itu hatinya tetap bahagia. Menginjak usia remaja, ungkitan Kak Lisa yang dialah punca perceraian ibu dan bapa mereka, sangat membebankan jiwa. Kakaknya juga sering mempamer reaksi tidak menyenangi kehadirannya di rumah. Daripada teman Kak Lisa yang silih berganti, kehadiran Syed Nadjmil Faiz dilihat oleh Abby sebagai calon suami yang terbaik untuk kakaknya. Sikapnya yang bertanggungjawab dan melindungi sesekali membuatkan Abby digoda perasaan. Namun mujurlah dia segera mengingatkan diri bahawa bakal abang ipar masakan boleh dijadikan teman sendiri. Hasrat meminang yang disuarakan oleh Syed Nadjmil Faiz menimbulkan konflik. Bagi Abby, hasrat itu jatuh di tempat yang salah kerana bercinta dengan kakak, mengapa pula yang dipinang adiknya? Sudah hilang pertimbangan akal barangkali, maka Syed Nadjmil Faiz memilihnya dan bukan Kak Lisa. Bagi Syed Nadjmil Faiz, berkawan bukan ertinya berkasih. Sekian lama mengenali si kakak, hatinya tidak pernah disapa rasa cinta. Tetapi pertama kali bertemu Abby, perasaannya digoda rindu. Meskipun sangat mengharap agar salam kasihnya bersambut, dia sedar Abby berhak menolak. Kebencian Kak Lisa terhadap Abby bagaikan tidak bernoktah. Abby terjebak dalam dilema. Bagaimana kemelut ini hendak dirungkai? @ 1:09 AM
Senafas Rindu Oleh Damya Hanna Fariz amat mencintai Vivianna, gadis sekolejnya yang berbangsa Cina tetapi hubungan mereka terhalang oleh kedua-dua keluarga. Pada masa yang sama, Shafika yang pernah meninggalkan Fariz hadir untuk menagih cinta lelaki itu. Terjadilah pelbagai konflik yang mencetuskan perasaan dan hati. Marah, geram dan gembira bercampur baur. Antara Shafika, Vivianna dan Siti Nur Ain... Fariz hanya mampu memilih satu. Namun, akan ada hati yang pasti terluka dengan keputusannya. Dia sekadar berserah. @ 1:09 AM
Andai Itu Takdirnya Oleh Siti Rosmizah Aleya, seorang gadis yang cantik dan berlatarbelakangkan keluarga sederhana, dalam diam menyimpan perasaan pada seorang anak tokoh korporat yang ternama yang juga merupakan rakan sekuliahnya di universiti di United Kingdom, Syed Adam Aizril. Syed Adam Aizril, wajahnya yang tampan menjadikan dia kegilaan ramai gadis. Limpahan kemewahan meletakkan ego dan kesombongan di singgahsana yang paling tinggi. Mentalitinya yang mementingkan darjat dan kedudukan telah menutup pintu hatinya untuk mendengar bicara hatinya sendiri yang pada ketika telah mula ada getaran buat Aleya. "Salahkah Leya mencari sedikit bahagia? Mengapa Leya tak pernah dapat merasainya? Hina sangatkah Leya sebab beribu dan berbapakan orang miskin? Memang Leya miskan tapi Leya juga jugak ada maruah diri." Terjadinya suatu perkara yang menyatukan mereka. Tapi kerana terlalu ego, sombong dan mementingkan darjat, begitu hina Aleya dilayan Syed Aizril. "Saya telah menjadi balu sebelum masanya dan anak-anak saya juga telah menjadi anak yatim sebelum masanya. Sembilan bulan saya mengandung mereka tanpa suami di sisi. Saya pekakkan telinga mendengar cemuhan masyarakat sekeliling." Kuasa cinta, tiada siapa yang dapat menghalang. Mereka kembali bersatu atas penyesalan Syed Aizril. Ketika ingin menyulam bahagia dan menyemai kasih antara dua hati, munculnya Sharifah Emilin, sepupu kepada Syed Aizril yang membuat onar. Sharifah Emilin yang penuh di hatinya dengan ego, bongkak dan iri hati ingin menunaikan dendamnya pada Aleya yang dianggap merampas Syed Aizril yang konon dianggap sebagai kekasihnya. Namun, di hati Syed Aizril, hanya Aleya yang bertakhta. "You dengar sini Zril, dendam I tak habis kat sini. I bersumpah, I akan pastikan hidup you musnah...musnah sebagaimana you musnahkan hidup I. I takkan lepaskan you. You tetap akan jadi milik I. I janji Zril, I janji." Namun, ada kalanya cinta mereka teruji di tengah jalan. Kerana keegoan seorang lelaki yang menuncak, Syed Aizril telah melakukan kekhilafan yang hanya merugikan dirinya sendiri dan hampir-hampir menyebabkan dia kehilangan cinta sucinya. "Leya jangan tinggalkan abang. Kembalilah sayang, kembalilah. Jangan teruskan perjalanan itu. Berilah abang peluang untuk membahagiakan Leya. Hentikan perjalanan itu sayang, pandanglah ke belakang walaupun cuma seketika." Salahkah Aleya kerana memilih Syed Aizril dalam hidupnya? "Namun dia terleka sebentar dengan kebahagiaan palsu yang diciptakan oleh suaminya. Habis manis sepah dibuang. Dia akhirnya menjadi pengemis cinta pada suaminya sendiri. Akhirnya dia telah terluka untuk kedua kalinya tetapi kali ini kelukaannya lebih dalam hingga meragut nyawanya sendiri. Itulah kisah perempuan yang bernama Nur Aleya binti Idris." Cinta...cinta telah menjadikan Aleya, gadis yang pendiam dan berperibadi sederhana, seorang yang kuat, tabah, tegas dan berani, walau dalam hatinya penuh cinta dan kasih. "Selama aku miniti liku-liku kehidupan yang penuh onak dan duri ni, aku tidak pernah pasrah dalam hidupku. Andai itu takdir-Nya sebelum menggapai bahagia aku redha. Namun sampai waktu apabila aku tidak mampu bertahan lagi, hatiku lebih keras dari kerikil." Cinta...cinta telah mengubah Syed Aizril yang ego dan sombong kepada seorang yang sangat menghargai cinta dan kasih sayang. "Leya, abang janji dengan nama ALLAH abang akan menjaga Leya hingga ke nafas yang terakhir. Percayalah sayang. Leya takkan keseorangan lagi. Abang sayang Leya dengan penuh hati abang." @ 1:06 AM
CHINTA Oleh Norhayati Berahim Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita. Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai satu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita.Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya... hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya. @ 1:05 AM
Vila Amira Syakila Oleh Ebriza Aminudin Farra Amalina seorang gadis yang suka menulis cerita tentang dunia mistik. Pada suatu hari, dia mendapat tahu bahawa ada sebuah vila di daerahnya mempunyai unsur-unsur misteri. Dia berminat menjadikan vila itu sebagai bahan novelnya. Setelah tiga hari menetap di vila itu, Farra Amalina diganggu. Dengan sendirinya cerita yang tidak ada dalam bab yang dikarang, tiba-tiba sahaja tercatat di situ. Makhluk itu membuat huru-hara dan Farra Amalina kini berada di alam lain di mana dia terpaksa menyelesaikan masalah Amira Syakila dan mencari mangsa pembunuhannya. @ 1:05 AM
Setiap Jumaat Oleh Norhayati Berahim Hidup di negara orang memang payah. Apatah lagi di Negara Jepun yang rumah sewanya hanya sekangkang kera. Benar kata orang, biar hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Negara sendiri lebih indah. Tetapi kerana dendam, payah dan gundah, suka atau tidak, Jasmine gagah mengharungi sendiri. Bertahun berlalu, marah pada emak tidak pernah surut. Memang tidak ada haramnya emak berkahwin lain, tidak ada hinanya. Ayah pun sudah meninggal dunia. Tetapi apa perlunya emak berkahwin dengan lelaki bujang? Namun Jasmine tidak tahu, ada rahsia sebenarnya yang emak tidak mahu cerita…. Persahabatan itu telah menjadi racun. @ 1:03 AM
Rahsia Perindu Oleh Ramlee Awang Mursyid Amylia bersetuju membela seorang penjenayah yang kemungkinan besar akan rnenghadapi hukuman mati mandatori kerana membunuh. Setelah meneliti mental anak guamannya, Amylia mendapati sesuatu yang tidak munasabah berlaku. Dia memohon perintah rnahkamah untuk mendapatkan khidmat doktor psikiatri bagi melakukan psikoanalisis. Dr. Azian mendapati anak guaman Amylia; Leopard mengalami gangguan mental. Pada masa yang sama, usahanya membela Leopard mendapat rintangan. Amylia yang diburu ketakutan mengalami perubahan emosi. Namun begitu, dia tidak mudah mengalah walaupun nyawanya sentiasa diburu maut oleh pembunuh yang sentiasa mengintai pergerakannya. Perjuangan tetap diteruskan juga. Oleh kerana tidak tertahan menanggung peibagai dugaan, suatu hari Amylia jatuh pengsan. Dan apabila dia sedar semula, segala-galanya telah berubah. @ 12:57 AM
Janjiku Bersamamu Oleh Aleya Aneesa Dalam hidup ini, manusia sering kali diberi banyak pilihan untuk meniti lorong-lorong kebahagiaan. Memilih siapa yang layak disayangi dan siapa pula yang tidak. Tapi, tidak bagi Dhamira Rysda. Dia tidak pernah punya kesempatan itu. Mahu atau tidak, dia hanya ada Aly Rasyid. Itulah racun, itulah penawar dalam hidupnya. Tapi siapa dia mahu mencabar takdir? Lalu, dunia yang selama ini penuh dengan warna-warni mula gerhana dalam sekelip mata hanya kerana dia mahu melayan dan mencari bahagia yang kian lama tercicir. Sungguhpun begitu, dia masih dapat melihat dan merasakan biasan bulan dan bintang ada di mana-mana. Nyata, sejarah memang selalu akan berulang. Dan kini, sejarah Mariam benar-benar menjadi sumpahan. Namun, dia bertekad untuk keluar daripada kepompong sumpahan itu. Dia tetap akan memastikan kanvas hidupnya lebih indah berbanding Mariam. Tapi... sekuat mana pun dia, ada masa-masanya dia kewalahan. Takdir yang datang bagaikan sengaja mempermain-mainkan perasaannya. Lantas dia bertanya sendiri, “Berdosakah dia mengabaikan perasaan Aly Rasyid? Sedangkan dia tahu, dia hanya ingin mencari bahagia.” Dan, kebahagiaan... benarkah tak ubah seperti sepotong mimpi? @ 12:54 AM
Sepi Tanpa Cinta Oleh Damya Hanna HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas! Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali! Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya. Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali... @ 12:53 AM
Semusim Rindu Oleh Aleya Aneesa Di sebalik senyumannya... ada tangisan yang panjang. Keperitan hidup menjadi anak buangan membuatkan Hajar Adira begitu berhati-hati. 15 tahun dia cuba membalut luka tetapi sehingga kini luka itu masih berdarah. Selagi parut itu masih ada, kemaafan untuk mereka mungkin tiada. Dulu Hajar pernah mengemis kasih sayang saudara sendiri, kini kasih itu tidak diperlukan lagi. Cukuplah jiwanya menderita dan zahirnya terseksa... Benarlah... perasaan itu sememangnya sesuatu yang hidup. Hari ini tiada tapi esok mungkin ada. Hari ini ada, mungkin esok tiada. Tapi Hajar tahu perasaannya pada Ikhman tidak akan sirna sampai bila-bila. Bukan senang untuk dia jatuh cinta! Bila sekali perasaan itu bertapak, tiada apa yang mampu menghilangkan rasa cinta walaupun perasaan dendam pernah berapi di dadanya. Sesungguhnya kemaafan adalah dendam yang terindah... @ 12:19 AM
Nilai Cintamu Oleh Eka Faraha Suatu ketika dahulu Nana merasakan, Hisyam adalah pasangan serasinya. Dianyam mimpi-mimpi indah untuk hidup bersama. Dibaja benih kasih agar subur segar meniti hari bahagia. Ketika kelopak cinta mekar mengharum, Hisyam pergi tanpa secebis berita. Saat itu segalanya mula berubah, perjalanan hidupnya mula dihimpit resah dan ketenangan jiwanya mula b erkocak. Membuka kembali cerita tentang Hisyam, umpama sengaja mengguris hati yang telah parah. Kemunculan Tasya sebagai adik tiri, menggugat segala kesabaran dan kesetiaan. Tanpa setitis hubungan darah antara dia dan Tasya, Nana terpaksa melakukan pengorbanan sebesar ini. Melepaskan sesuatu yang tak mungkin ada galang gantinya. Akhirnya, Nana pasrah. Dia mula mengalah dan sedar diri. Lalu dia membuat kesimpulan sendiri, kasih Hisyam telah beralih arah. Hubungan cinta mereka cuma tinggal sejarah. Kalau nak dikata rebah, telah lama dia jatuh tersungkur. Pintu hatinya telah terkunci dan dia bangun dari kerebahan semalam. Hari ini walaupun dia masih mampu berdiri tapi dia hidup tanpa hati dan tanpa perasaan. Biarlah... sesungguhnya apa yang terjadi adalah ketentuan TUHAN. Jika ada sinar kebahagiaan untuknya, dia akan menyambutnya dengan senyuman. Jika tidak... siapa dia untuk mempertikaikannya? Yang penting, kisah itu banyak mengajarnya erti sebenarnya cinta. |